Thursday 28 January 2010

Utusan Mobil : http://m.utusan.com.my/?pg=muka-hadapan&id=113116

Tiada Pengecualian Pelatih Sertai PLKN

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Tiada pengecualian diberi kepada mereka yang terpilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) walaupun pernah terlibat dengan kor kadet Pertahanan Awam atau pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di sekolah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengecualian hanya akan diberi jika Akta Latihan Khidmat Negara yang sedia ada dipinda semula.

"Jika ada klausa dalam akta yang memberikan kelonggaran itu, mungkin ia akan digunakan atas budi bicara," katanya semalam.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam berkata, pelajar yang menyertai kor kadet Pertahanan Awam atau Rela di sekolah-sekolah mungkin dikecualikan daripada menyertai PLKN.

Mahmood berkata, KDN sedang berusaha mengambil kira-kira 60,000 pelajar bagi menyertai kedua-dua kor beruniform itu yang menyediakan latihan ala tentera sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum untuk sekolah menengah.

"Latihan yang disediakan oleh Rela dan Pasukan Pertahanan Awam lebih lasak berbanding PLKN. Kedua-dua kor ini juga adalah pasukan beruniform.

"Anggota kadet kami melalui latihan selama dua tahun pada setiap hujung minggu semasa penggal sekolah, lebih lama daripada tiga bulan yang dilalui oleh pelatih-pelatih PLKN," kata Mahmood.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya bagaimanapun akan mengkaji terlebih dahulu cadangan itu sekiranya menerima permohonan rasmi mengenai pengecualian tersebut daripada pihak KDN.

Bagaimanapun katanya, latihan PLKN mempunyai modul lengkap untuk membentuk sahsiah diri.
Template by : kendhin x-template.blogspot.com